
KEPADA si manis wanita peliharaan ALLAH S.W.T,
Mengapa dirimu sering bersedih dengaan ujian yang sedang dilalui?
Mengapa matamu yang jernih itu sering dibasahi air mata untuk sesuatu
yang tidak akan mendatangkan manfaat kepadamu?
Janganlah dibazirkan air matamu itu demi sesuatu yang tidak bermakna
dan merugikan diri sendiri. Apakah telah lupakepada Pemilik nyawa?
Sekarang... pejamkan mata dan rasailah gerak hati yang bersih. Dapatkah
dirimu rasakan yang DIA bersama dan sedang memujuk dan memelukmu
bersama dengan kalimah- kalimah suci yang terangkum menjadi satu kitab
cinta umat Islam yakni al-Quran? Ingatlah... dirimu tidak pernah
keseorangan tatkala berasakan dunia ini meminggirkanmu.
Ingatlah si manis, saat dunia memandang lemah dan mengenepikanmu, ALLAH
S.W.T masih kekal bersama. Senafas pun ALLAH S.W.T tidak
meninggalkanmu. Tidakkah dirimu berasa begitu istimewa? Selangkah dirimu
mendekati TUHAN, sehasta DIA menghampiri.
Tahukah dirimu bahawa hidup ini tidak sentiasa gembira dan ceria?
Setiap manusia itu pasti melalui pancaroba berdasarkan kemampuan.
Mengukur kemampuan itu adalah di luar kebolehan insan yakni hanya ALLAH
S.W.T sahaja yang mengetahui.
Anggaplah bahawa ujian itu sebagai tarbiyah agar tidak alpa dalam
kehidupan. Kadang kala dirimu berasa begitu lemah dan tidak mampu
menanggung bebannya. Ada ketika lain dirimu berasa letih menghadapi
ujian yang melanda diri sehingga air mata menitis membasahi wajah yang
mulus.
Namun fahamilah hakikat seorang hamba. ALLAH berhak ke atasmu. Suka dan
duka tetap menjadi nikmat dan kurnia yang dianugerahkan. Jika ingin
mengakhiri kehidupan ini dengan kebaikan maka mulakanlah dengan langkah
dengan amalan yang diredhai. Sekiranya memilih untuk menghabiskan sisa
waktu dengan keburukan, maka sepanjang kehidupan pasti diselubungi
dengan kegelapan sehingga detik nafas yang terakhir.
Tapi ingatlah wahai si manis, ALLAH S.W.T tidak akan menurunkan sesuatu
ujian itu jika tidak mampu menghadapinya. Oleh itu, hadapilah ia dengan
tenang dan sabar. Sesungguhnya ALLAH sentiasa bersama hamba-NYA yang
sabar. Percayalah dengan kata-kata ALLAH S.W.T ini kepada
hamba-hamba-NYA,
“ALLAH tidak membebani seseorang kecuali sesuai dengan
kemampuannya. Dia akan mendapat pahala atas usahanya dan mendapat seksa
atas kesalahannya, (lalu dia berdoa): Ya TUHAN kami, janganlah Engkau
menghukum kami jika kami lupa atau bersalah.”
- Al- Baqarah: 286
Si manis juga harus ingat, kesusahan dan kepayahan yang dilalui hari
ini akan mematangkan dan mewarnai hidupmu kelak. Malah insya-ALLAH,
dirimu akan berdiri cemerlang dengan kehendak-NYA. Ingatlah kepada Yang
Khaliq, Maha Pencipta. DIA akan sentiasa berada di sisi tidak kira
ketika susah mahupun senang.
Wahai si manis, hentikanlah tangisanmu. Bersihkan wajahmu dengan wuduk
supaya nur kebahagiaan kembali terpancar di wajah. Tabah ya, si manis
dan teruskan perjuangan dengan penuh keyakinan. Berdoalah kepada ALLAH
S.W.T agar membawa pergi dukamu saat titisan air itu mengalir membasahi
anggota bagi mensucikanmu.
Raupkan wajah dengan air mutlak bagi menyinari wajahmu yang sendu.
Usapi tanganmu serata-ratanya dengan harapan sentuhan-sentuhan lalu yang
bergelang dosa dapat disucikan. Sentuhi pula ubun-ubun dengan
kejernihan air yang mengalir agar dapat meringankan duka yang sedang
membeku dan menyinggahi pundakmu.
Sucikan pendengaran agar dirimu hanya mendengar bait-bait indah yang
mampu mententeramkan dan semoga penyucian sebahagian kaki dapat membawa
langkah-langkah menuju keindahan syurga. Justeru, ikhlaslah bersimpuh
dan bersujud menghadap ALLAH S.W.T, Yang sangat Pengasih dan Penyayang
kepada hamba-hamba-NYA.

Bermula saat ini, berhentilah daripada meratapi nasib kerana rintihan
sendu yang meratapi keadaanmu itu datangnya daripada bisikan syaitan
durjana. Mohonlah kepada-NYA agar diberi kekuatan dan pertolongan dalam
melalui dugaan hidup.
Si manis ciptaan ALLAH S.W.T,
Coretan peringatan ini dibuat untuk dirimu jua wanita-wanita terhebat
yang lain. Ingatlah... dirimu dan insan di sekeliling hanyalah penumpang
sementara yang diberi pinjaman nafas hidup di dunia ALLAH yang fana
ini. Dunia ini umpama perjalanan di dalam hutan yang penuh dengan duri
dan berkongsi pula dengan si jinak dan si buas. Kadang kala dirimu akan
alpa dengan keindahan dan ketenangannya.
Lupa kepada bahaya yang setia menanti di hadapan sana. Jika tidak
berhati-hati, dirimu akan terluka dicucuk duri-duri tajam yang berbisa
itu. Akhirnya, dirimu akan merintih dan mengaduh kesakitan. Menangis dan
mengharapkan pertolongan.
Oleh itu... berhati-hatilah kerana terdapat banyak binatang buas di
dalam hutan yang sedang dilalui itu atau mungkin menyangkakan si jinak
akan terus bermain manja mendekatimu. Hakikatnya, si jinak mampu menjadi
buas jika ada yang memujuk menunjukkan kekuatannya.
Mereka hanya menunggu masa untuk menunjukkan kekuasaannya kerana telah
terlupa akan status hamba yang dipeganginya. Andai kata dirimu tersilap
langkah dan terlalu jujur menilai, tidak mustahil akan diterkam dan
dibaham oleh binatang-binatang itu.
Dalam mengharungi hidup yang penuh ranjau berduri, dirimu akan
berhadapan dengan masalah yang menyesakkan jiwa dan minda. Tetapi si
manis, jangan khuatir... ALLAH kan ada? Lalu berdoalah selalu dan
mintalah pertolongan untuk dituntun ke jalan lurus. Benar... masalah itu
akan meragut ketenangan hati.
Fikiran disogok dengan kepedihan dan kenangan lalu hingga membawa minda
menerawang entah ke mana dan akan membuatkan jiwa tidak pernah
tenteram. Waktu itu mulalah fi kiran negatif berlegar-legar di minda.
Pelbagai soalan mulai timbul. Hati tidak keruan memikirkan masalah.
Sebagai insan lemah, Pencipta yang Maha Esa akan mula dilupakan.
Jangan... jangan jadi seperti itu. Jangan dilupa siapa yang mencipta
dirimu dan apakah hakikat kehidupan yang sebenarnya sebagai khalifah
ALLAH di muka bumi ini. Hilangkanlah segala kesedihan. Pujuklah hati
dengan janji Ar-Rahman. Sesungguhnya dirimu akan berasa lebih tenang.
Jangan menangis lagi ya...
Janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah pula kamu bersedih
hati, padahal kamulah orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu
orang yang beriman.”
- Ali Imran:139
Wahai si manis,
Andai jiwamu terhimpit dengan penyesalan, sering berasa gusar di atas
kealpaan suatu ketika dahulu bahkan masih terasa diri dipalit dosa-dosa
hitam, maka menangislah. Jika dirimu mengalirkan air mata keinsafan, itu
lebih bermakna. Cara itu mampu mendekatkanmu dengan-NYA. Mintalah
kepada- NYA keampunan dengan sungguh-sungguh. Sesungguhnya ALLAH itu
Maha Pengasih dan Maha Pengampun.
“Wahai anak Adam, selagi engkau meminta dan berharap kepada-KU maka
AKU mengampuni segala dosamu yang telah lalu, dan AKU tidak akan
mempedulikannya. Wahai anak Adam, jika dosamu sampai setinggi langit
lalu kau meminta ampun kepada-KU nescaya KU- ampuni. Wahai anak Adam,
jika kau datang kepada-KU dengan kesalahan seluas permukaan bumi lalu
engkau menemui-KU tanpa menyekutukan sesuatu pun dengan- KU, nescaya AKU
datang padamu dengan keampunan seluas bumi pula.”
-Riwayat Al-Tarmizi no: 3534 dan Al-Baghawi dalam Syarhus Sunnah
Jadikan kisah silam sebagai pengajaran yang bermakna. Sematkanlah di
dalam hati supaya dirimu tidak akan sesekali mengulanginya lagi.
Berpegang teguhlah kepada tali agama dan ingatlah kepada ajaran Islam.
Percaya dan yakinlah sepenuh hati bahawa ALLAH akan mengampuni
dosa-dosa dan mengurniakan maghfi rah buatmu. Kita adalah hamba yang
lemah dan sering melakukan kesilapan. Namun, dengan kesilapan jugalah
akan menguatkan kita.
Si manis, kenapa harus menunggu esok untuk tersenyum? Kembalilah
tersenyum bermula pada saat ini, saat dirimu sedang membaca nukilan bisu
ini...

Kita sangat beruntung dilahirkan menjadi seorang muslimah. Setiap gerak
tingkah sentiasa ada pedomannya. Walaupun perkara itu kecil, hati akan
menjadi sangat senang dan mudah dengan landasan kehidupan yang diberi
petunjuk. Bukankah begitu?
Hidup memang ada cabaran. Terutamanya kepada orang yang beriman. Pasti
mereka akan diuji. Ini adalah ketetapan ALLAH yang perlu diterima. Walau
bagaimanapun, seseorang yang diuji sepatutnya perlu tabah dengan
sebarang ujian. Kemiskinan, kekayaan, kesakitan, kehilangan harta benda
dan kematian kerana ALLAH itu lebih berhak atas segala- galanya. ALLAH
ingin menguji cinta hamba-NYA adakah setebal cinta-NYA kepada hamba-NYA.
Yakinlah bahawa ALLAH S.W.T itu Maha Melihat dan Maha Mendengar. Tiada
satu pun yang akan tersembunyi dan terlupa kerana DIA menjadi saksi
kehidupan ini. Hidup akan terus berjalan meski penuh dengan tangisan
sehingga sampai waktunya. Ingat... DIA tidak akan membebankan setiap
hamba dengan ujian yang tidak mampu dipikul oleh hamba-NYA. Pasti tidak!
Kembalilah untuk tersenyum dan tabah dengan ujian. Memang benar, lidah
berbicara petah belum tentu sendi berpahat kukuh. Pesan terakhir, jangan
lupa untuk bersolat dan bersujud sepenuh hati kerana di situlah punca
kedamaian dan kebahagiaan. Bersedialah untuk mengejar cantiknya ufuk
fajar sebelum ia terbenam dan tidak muncul kembali...
Dipetik dari buku :Tika Bidadari Berbisik